Halaman

Selasa, 11 Disember 2012

Gerak Yang Kedua Belas

'Ketahuilah sesungguhnya di balik telinga manusia dan di balik mata manusia itu ada pendengaran dan ada penglihatan yang sangat ajaib. Lamun, pendengaran Allah S.W.T. dan penglihatan Allah S.W.T. tidak sesekali dapat digerakkan atas hati, telinga dan mata manusia. Oleh memahamkan kepada tilikan manusialah maka penglihatan Allah S.W.T. dan pendengaran Allah S.W.T. itu dibahasakan pada bahasa makhluk iaitu sama' dan basor...'


...tergerak pada tanggal sembilan haribulan sepuluh di dalam tahun dua ribu tujuh masihi, bersamaan dua puluh tujuh Ramadhan di dalam tahun seribu empat ratus dua puluh lapan hijriah, yakni pada hari Selasa lebih kurang pada jam enam empat puluh lima minit pagi di dalam Teratak Al Ehsan di dalam Kampung Padang Nenas di dalam mukim Kuala Nerus di dalam Bandar Kuala Terengganu di dalam Negeri Terengganu Darul Iman.

...syukur dan selawat...

Jumaat, 23 November 2012

Gerak Yang Kesebelas

"Adalah satu-satunya diciptakan makhluk yang ia hanya bergerak kepada satu hala sahaja dan tidak sekali-kali tertoleh ke belakang kerana ia berlawanan dengan sifat kejadian ciptaannya. Padanya apa yang ditinggalkan adalah kematian yang sesekali tidak boleh diganti dengan ciptaan yang sama dengannya. Apa yang di hadapan adalah erti kehidupannya dan sisa dirinya wujud di depan hayat kehidupan manusia yang berakal. Ketahuilah bahawa ia adalah masa..."


Tergerak dalam jarak waktu delapan ke sepuluh hari sebelum dinukilkan pada tanggal dua puluh satu haribulan lapan di dalam tahun dua ribu tujuh masihi, pada hari Selasa lebih kurang jam pukul dua belas lima puluh lima minit tatkala matahari tegak di ubun ubun langit dan aku tidak catatkan akan tempatnya.

...syukur dan selawat...

Khamis, 1 November 2012

Gerak Yang Kesepuluh

'Apakala dihitung jarak dunia ini adalah sama di antara di kiri dan di kanan dan di depan dan di belakang daripada seseorang itu kerana diamnya seseorang itu adalah pada bulatnya dunia ini jua adanya...'


...tergerak pada tanggal enam haribulan enam di dalam tahun dua ribu tujuh masihi dan gerak ini melintasi ufuk nuraniku pada sekitar di antara satu dan dua bulan terlebih dan terkurang sebelum dinukilkan kitab ini dan tiada diketahui tempat dan waktunya.

...syukur dan selawat...

Ahad, 7 Oktober 2012

Gerak Yang Kesembilan

'Tidak berpangkal mana-mana helaian dedaun akan sepohon kayu walau sebesar mana sekalipun ia tumbuh pada dekat dan jauhnya atau jarang dan lebatnya dedaun itu melainkan ia tetap berasal daripada umbi pohon yang satu jua. Sesungguhnya, sama ada bagi daun yang jauh di hujung dahan, mahupun daun yang terlalu dekat dengan umbi; kedua-duanya hidup pada zat makan dan minum yang satu jua...'


...telah aku nukilkan gerak ufuk nuraniku ini pada tanggal tujuh belas hari bulan lima di dalam tahun dua ribu tujuh masihi pada jam pukul tujuh lima puluh minit malam yakni pada hari Jumaat di dalam rumahku di teratak halaman al-ehsan kampung padang nenas di dalam daerah kuala terengganu di dalam negeri terengganu darul iman.

...syukur dan selawat...


Jumaat, 28 September 2012

Gerak Yang Kedelapan

'Akan tali kehidupan dunia itu berpangkal pada nafas seorang anak yang baru keluar daripada perut si ibu dan usia tua itu hujungnya. Tatkala bertemu antara kedua-dua si anak kecil dan si tua bangka adalah ibarat bertemunya antara kedua-dua pangkal dan hujung seurat tali yang panjang disimpulkan bersatu...'

...tergerak di dalam jarak waktu beberapa hari sebelum aku tintakan nafasku ini pada tanggal tiga belas hari bulan lima di dalam tahun dua ribu tujuh masihi lebih kurang pada pukul delapan empat puluh tiga minit pagi di dalam dewan abbas di dalam madrasah tok jiring di dalam mukim kuala nerus kuala terengganu di dalam negeri terengganu darul iman.

...syukur dan selawat...

Jumaat, 21 September 2012

Gerak Yang Ketujuh

"Apabila memberilah seseorang itu kepada seseorang yang lain, maka apabila terasa akan terkurang olehnya daripada yang ada pada dirinya oleh sebab sesuatu pemberian itu, dan ketahuilah olehmu adalah tanda ketidaksempurnaan hati adanya..."

tergerak pada beberapa waktu sebelum aku nukilkan ia pada tanggal delapan belas hari bulan empat dalam tahun dua ribu tujuh masihi pada jam sebelas lima puluh minit malam di dalam rumahku teratak al-ehsan padang nenas mukim kuala terengganu di dalam negeri terengganu darul iman.

...syukur dan selawat..



Maknanya Sakning:

1. Walaupun ciptaan manusia ini adalah sebaik-baik ciptaan Allah SWT, tetapi tidak dapat mengatasi Kesempurnaan Pencipta. Biarpun terbaik, namun manusia tiada sifat kesempurnaan dan berdiri atas kekurangan.

2. Manusia memiliki penuh ketidaksempurnaan dan kekurangan. Maknanya sakning: hakikat manusia adalah bergantung sepenuhnya kepada Pencipta. Sebab itulah, manusia akan berasa kurang (luak, hilang, lenyap dsb) apabila apa-apa milikannya diberikan kepada pihak lain.

3. Manusia yang arif tentang diri: tidak akan berasa terkurang walaupun sedikitpun, apabila setiap milikannya diberikan kepada pihak kedua, bahkan tidak berasa apa-apa pun yang terkurang. Bahkan apa-apa yang diberikan kepada orang lain adalah yang terbaik nilai dan ukurannya.

4. Adapun, yang lazim berlaku dalam diri seseorang adalah apabila seseorang itu ingin memberikan sesuatu kepada seseorang, dia akan memilih yang kurang baik dari sudut pandangan mata hatinya dan dalam jumlah yang kecil pula,  lantaran telah datang dalam hatinya perasaan kehilangan haknya.

5. Di sinilah wujudnya nilai hati dan jiwa kebanyakan seseorang manusia yang mengaku beriman kepada Allah swt.

Jumaat, 7 September 2012

Gerak Yang Keenam

"Dalam diri tiap-tiap anak Adam itu diam sebuah penjara berpintu pada satu mulut. Adapun kunci ibunya kedua-dua pada belakang bibir dua-dua yakni lidah. Penjara itu akan dibuka akan mendatangi tamu oleh punahnya kunci ibu itulah adanya..."


tergerak dan aku tintakan pada tanggal dua puluh enam hari bulan dua di dalam tahun dua ribu tujuh masihi, yakni pada hari Ithnin pada detik dan waktu jam sembilan empat puluh tujuh pagi bertempat di dalam hotel shahzan inn di dalam bandar kuantan di dalam negeri pahang darul makmur.

...syukur dan selawat...

Khamis, 6 September 2012

Gerak Yang Kelima

"Adapun di antara kesilapan bangsa manusia itu ialah menyamakan sesuatu perkara dengan sesuatu perkara yang lain. Pada hal ianya (sesuatu perkara itu) dicipta di atas sebab yang berlainan walaupun ia boleh diam pada satu kedudukan laksana ciptaan kedua Adam dan Hawa. Ketahuilah olehmu bahawa sanya berdiri sesuatu perkara itu pada perbezaan di antara keduanya..."



tergerak pada detik jam pukul sebelas pagi hari Jumaat tanggal dua puluh tiga hari bulan dua di dalam tahun dua ribu tujuh masihi di dalam rumah al-ehsan kampung padang nenas di dalam daerah bandar kuala terengganu 
di dalam negeri terengganu darul iman.

...syukur dan selawat...

Rabu, 5 September 2012

Gerak Yang Keempat

"Setiap gerak tindak yang tersesat dalam zulmat syahwat itu dinamakan nafsu dan umbi segala rasa takut untuk melakukan maksiat itu dinamakan aqal. Sesungguhnya nafsu dan aqal sering bertentangan, lamun sekiranya kemenangan menyebelahi nafsu, mengapakah aqal mesti menyesal, sedangkan ketewasannya bukanlah satu penyerahan yang hakiki..."


yang sebenar sekali gerak ini telah lahir
 dalam tahun seribu sembilan ratus delapan puluh lima
 pernah disiarlisankan oleh jurusiar radio dalam terengganu.
dan aku telah tinta semula di dalam kitab ini pada dua puluh empat hari bulan tujuh dalam tahun dua ribu enam masihi di dalam hotel perdana kota bharu
dalam negeri kelantan darul naim.

...syukur dan selawat...

Selasa, 4 September 2012

Gerak Yang Ketiga

"Maka setiap dari kita diciptakan dua tangan yang setiap satunya adalah tumbuh dengan lima jari. Adapun pemimpin itu adalah ibu jari dan kelinking itu hamba. Dan terhimpun sebuah kuasa apabila dikepal oleh bersatunya dua puluh delapan buku dan sendi. Di sinilah berdiri kehidupan..."

Tergerak di dalam beberapa hari dan waktu di ufuk renung
dan telah aku tinta pada tanggal 
delapan belas hari bulan lima di dalam tahun dua ribu enam masihi
 di dalam residence inn di paka di dalam daerah dungun
 di dalam negeri terengganu darul iman.

...syukur dan selawat...

Gerak Yang Kedua

"Adapun antara kejahatan hati seseorang di antara seseorang yang lain ialah (apabila seseorang itu) menidakkan kebolehan seseorang di antara seseorang di antara kamu..."

Tergerak pada tanggal satu hari bulan dua dalam tahun dua ribu enam masihi
di dalam madrasah tok jiring mukim kuala nerus
di dalam bandar kuala terengganu terengganu darul iman.

...syukur dan selawat...

Isnin, 3 September 2012

Gerak Yang Pertama

"Oleh kita berhadap dengan manusialah yang memiliki roh dan kalbu, fikir dan rasa, maka kita harus mengawal lidah dan tangan...demikianlah adanya."

Tergerak pada tanggal dua puluh enam hari bulan disember
di dalam tahun dua ribu lima
 di dalam madrasah tok jiring ad-diniah at-thanawiyah mukim kuala nerus
di dalam bandar kuala terengganu terengganu darul iman.

...syukur dan selawat...

Awal Kalam Daripada Kitab Asahan Jiwa: Klinik Hijab Nurani

KALAM MUKADIMAH...

...dan pada setiap waktu dan ketika, saat dan detik setiap denyut nadi dipalit darah dan nanah udara dan tanah air dan api tadbir pada setiap inci dan penjuru alam terangkum pada satu pangkal dan hujung adalah bermula pada detik satu noktah kemenjadian sebuah lakonan bumi dan langit yang terpancar titis-titis ilmu yang terpantul dan aku namakan akan ia KITAB ASAHAN JIWA: Klinik Hijab Nurani.

...dengan ini jua, ku namakan pada nama kitab tulisan tanganku ini pada nama pilihan di atas kelak akan dibacakan orang yang ingin mendalami hikmat pada saat tatkala setiap manusia sudah kehilangan pegangan hati yang suci pada Tuhannya lagi.

...tafsirlah akan setiap butiran kata-kata hati nuraniku ini bagi kamu yang ingin membuat renungan makrifat diri dan Tuhanmu.

Demikianlah Kalam Mukadimah dariku:

abd. aziz hj. ibrahim (an-nerusi)