Halaman

Isnin, 1 November 2021

Gerak Yang Kelima Puluh Tujuh

"Adapun seseorang hamba itu, tatkala ia terlalu banyak meminta-minta kepada tuannya, sedangkan hal-hal dan tiap-tiap hajat yang dimintanya bahkan yang tidak pernah dimintanya pun, telah dikurniakan kepada dirinya sedangkan dirinya sendiri tidak sedar akan kurniaan itu. Ingatlah bahawa tiap-tiap hamba yang baik tidak akan sekali-kali meminta-minta yang lebih-lebih disebabkan berasa terlalu malu akan tuannya..."




                                                                                                       ...syukur dan selawat...

Isnin, 11 Oktober 2021

Gerak Yang Kelima Puluh Enam

"Ketahuilah olehmu wahai sekalian anak Adam, sesungguhnya antara anggota tubuh yang paling panjang di dalam jasad ialah lidah. Maka, ia akan memanjangkan kata-kata seseorang itu ke atas tiap-tiap lidah anak Adam yang lain pula. Dan ingatlah bahawa jauhnya berjalan tiap-tiap kata-kata seseorang anak Adam itu tidak akan berhenti pada sesuatu perhentian seumpama berjalannya dua kaki yang melangkah selagi disebabkan lidah itu tidak mengandung barang sedikitpun tulang yang keras. Begitulah adanya..."



gerak hatiku ini kucatat pada hari ini pada tanggal sebelas hari bulan sepuluh di dalam tahun dua ribu dua puluh satu masihi bersamaan empat Rabi'ul Awwal tahun seribu empat ratus empat puluh tiga hijriah yakni pada hari Isnin pukul sepuluh tujuh belas minit pagi di Madrasah Sultan Zainal Abidin Batu Burok Kuala Terengganu. di dalam negeri Terengganu Darul Iman.


...syukur dan selawat...

Isnin, 31 Mei 2021

Gerak Yang Kelima Puluh Lima

"Maka, kamu sesekali akan mendapati banyak orang menuntut ilmu sepanjang hayatnya di dunia ini sehingga ke menara keilmuan yang paling tinggi darjatnya, namun tidak banyak orang sedar akan dirinya (walaupun dia turut bersama-sama mengiringi si mati ke tanah perkuburan itu) bahawa perjalanannya ke situ adalah puncak tarbiyyah keilmuan yang paling tinggi jua duduknya."



gerak hatiku ini kucatat pada hari ini pada tanggal tiga puluh satu hari bulan lima di dalam tahun dua ribu dua puluh satu masihi bersamaan sembilan belas Syawwal tahun seribu empat ratus empat puluh dua hijriah yakni pada hari Ahad pukul sembilan lima puluh tiga minit malam bersempena mengingati pemergian bapaku buat selama lamanya pada tanggal dua puluh delapan hari bulan lima di dalam tahun ini jua yakni pada hari Jumaat pukul tiga setengah petang.


...syukur dan selawat...

Sabtu, 1 Mei 2021

Gerak Yang Kelima Puluh Empat

"Maka sesungguhnya, kamu memberi kepada yang tidak meminta minta itu adalah terlebih baik daripada kamu memberi kepada yang memanjang manjangkan tadahan tangannya, namun janganlah sekali kali kamu menyekat daripada kalangan kamu yang meminta minta. Demikianlah hendaknya..."



gerak hatiku ini di kampung dusun dan kucatat pada hari ini pada tanggal satu hari bulan lima di dalam tahun dua ribu dua puluh satu masihi bersamaan sembilan belas Ramadhan tahun seribu empat ratus empat puluh dua hijriah yakni pada hari Sabtu pukul enam empat puluh sembilan minit pagi.


...syukur dan selawat...

Ahad, 28 Mac 2021

Gerak Yang Kelima Puluh Tiga

"Ketahuilah olehmu wahai sekalian anak Adam, bahawa sesungguhnya pada jasad setiap daripada kamu adalah satu tulang belakang yang mendirikan sebuah tubuh. Adalah tubuh setiap daripada kamu, tatkala menilik daripada hujung sehelai rambut sampai ke hujung sebatang jari kaki yang paling panjang adalah diumpamakan sebuah kehidupan di dunia ini. Tilikkanlah olehmu, betapa tulang belakang yang banyak berdiri adalah terlebih baik daripada tulang belakang yang melebihkan berbaring, kerana yang berdiri itu adalah diumpama berbakti dan yang terbaring itu diumpama mati adanya..."


Gerak hatiku ini telah kucatat pada tanggal dua puluh delapan haribulan tiga di dalam tahun dua ribu dua puluh satu masihi dan kucatat di sini pada tanggal enam belas hari bulan empat di dalam tahun dua ribu dua puluh satu masihi bersamaan pada empat hari berpuasa Ramadhan di dalam tahun satu ribu empat ratus empat puluh dua hijriah yakni hari Jumaat pada pukul sembilan tiga puluh tujuh pagi

...syukur dan selawat...