Halaman

Ahad, 30 September 2018

Gerak Yang Keempat Puluh Empat

"Bahawa sesungguhnya unggun api di dalam diri seseorang anak Adam itu marah, maka adalah seseorang anak Adam yang beroleh kemenangan sekiranya ia dapat menahan marah. Namun ketahuilah olehmu sekalian saudara-saudaraku, sesungguhnya seseorang itu tiada bandingan akan mencapai olehnya suatu kemenangan yang besar tatkala ia berjaya mencabut umbi unggun api yang tumbuh dalam dirinya itu. Demikian adanya..."




kunukil gerak hatiku ini selepas beberapa lama dan ketika dan melebihi satu bulan di laman ufuk nuraniku di dalam rumah isteriku dalam manir dan kucatat pada hari ini tiga puluh hari bulan sembilan di dalam tahun dua ribu delapan belas masihi yakni pada hari ahad pukul sebelas tiga puluh satu minit malam bersamaan pada dua puluh muharram di dalam tahun seribu empat ratus empat puluh hijri.


...syukur dan selawat...

Selasa, 28 Ogos 2018

Gerak Yang Keempat Puluh Tiga

"Ketahuilah saudara-saudaraku sekalian, bahawa sesungguhnya sesuatu keadaan yang dirasai oleh tubuh badan seumpama sihat dan tidak ditimpakan akan sesuatu kesakitan dalam sesuatu tempoh waktu itu usahlah ia disangka sebagai ni'mat Allah semata-mata, tetapi hendaklah engkau renungi bahawa keadaan sihat itu adalah patut dibimbangkan sebagai menjadi kemurkaan Allah kerana oleh sihat tubuh badan itu ditakuti pula akan menjadi lupa diri kita kepada Allah jua. Demikian adanya..."



kunukil gerak hatiku ini selepas beberapa hari di laman nuraniku di dalam rumah isteriku dalam manir dan kucatat pada hari ini dua puluh delapan hari bulan lapan di dalam tahun dua ribu delapan belas masihi pada hari selasa pukul sembilan lapan minit pagi bersamaan pada enam belas zulhijjah di dalam tahun seribu empat ratus tiga puluh sembilan hijri.


...syukur dan selawat...

Khamis, 7 Jun 2018

Gerak Yang Keempat Puluh Dua

"Bahawa sesungguhnya, sesuatu perbuatan adalah ghalibnya ditakluk oleh waktu dan masa seumpama menunggu masuknya waktu sembahyang. Namun ada suatu perbuatan yang rugilah pada seseorang anak Adam itu apakala dia menunggu oleh kerana perbuatan menunggu itu belum menunaikan akan sesuatu jawapan. Maka ketahuilah olehmu sekalian, bahawa sesungguhnya berbuat kebaikan dan kebajikan tidaklah ditakluk oleh sabarnya menunggu akan masuknya sesuatu waktu pada hal ia harus diterkam dan dilaju-lajukan laksana angin menderu jua.."



kunukil gerak hatiku ini selepas berbulan-bulan di laman nuraniku di dalam rumah isteriku dalam manir pada tujuh hari bulan enam di dalam tahun dua ribu delapan belas masihi pada pukul tiga lima puluh dua minit petang bersamaan pada dua puluh dua ramadhan di dalam tahun seribu empat ratus tiga puluh sembilan hijri.


...syukur dan selawat...