Halaman

Rabu, 7 Disember 2016

Gerak Yang Ketiga Puluh Sembilan

"Bukanlah suatu ketakutan yang paling tinggi darjatnya bila engkau menjauhkan berbuat akan maksiat terhadap dirimu sendiri. Akan tetapi takutlah bila engkau menunjuk-nunjuk akan tiap-tiap kebaikan yang telah kamu berbuat padanya. Demikianlah hakikat ketakutan yang sebenarnya."


            kunukil gerak hatiku ini pada selepas solat maghrib di dalam masjid negeri, di dalam bandar kuala terengganu pada tujuh hari bulan sebelas di dalam tahun dua ribu enam belas masihi bersamaan pada sembilan belas hari bulan safar di dalam tahun seribu empat ratus tiga puluh delapan hijri.

...syukur dan selawat...

Jumaat, 23 September 2016

Gerak Yang Ketiga Puluh Lapan

"Bahawa satu waktu kelak akan sampai saat seseorang anak Adam itu berada pada jauhnya sesuatu tempat sujud umpama masjid, biarpun diamnya masjid itu di tepi tidurnya, sedangkan seseorang anak Adam itu boleh sampai ke sesuatu tempat hajat yang lain umpama pasar biarpun diamnya pasar itu di hujung dunia. Demikianlah keadaan di hujung zaman adanya..."


...tergerak dari gerak sanubariku setelah lebih dari tujuh hari  yang lalu
dan kupenakan ia pada tanggal dua puluh tiga hari bulan sembilan 
di dalam tahun dua ribu enam belas masihi. 


 ...syukur dan selawat...



Selasa, 26 April 2016

Gerak Yang Ketiga Puluh Tujuh

"Maka ingatlah bahawa tiap-tiap sesuatu di dalam hidup yang diam di hadapan sudah barang tentu pada satu masa kelak akan diam di belakang, umpama sebuah kitab yang dibaca orang iaitu dimulakan bacaan pada bahagian dari kulit hadapan kitab dan berakhir tatkala sampai ke kulit belakang kitab, dan di kulit belakang itulah akan menjadi kulit hadapan pula..."

...tergerak semasa di dalam perjalanan menuju ke tempat kerja
pada bulan lepas dan kunukilkan gerak ini pada hari ini
dua puluh enam hari bulan empat di dalam tahun dua ribu enam belas masihi 
bersamaan delapan belas rejab di dalam tahun 
seribu empat ratus tiga puluh tujuh hijrah.

syukur dan selawat...

Khamis, 18 Februari 2016

Gerak Yang Ketiga Puluh Enam

"Hendaklah setiap daripada kamu bersungguh-sunguh mendapat apa yang baik meskipun terlalu payah bagimu mendapat jalan untuk pergi dan sampai padanya biarpun sehingga setiap daripada kamu berperang di antara aqal dan nafsu kamu sendiri..."

...tergerak dari nubariku setelah dua tiga hari yang lalu
dan aku tintakannya pada tanggal lapan belas haribulan dua 
di dalam tahun dua ribu enam belas masihi 
bersamaan sembilan haribulan Jamadil Awwal 
di dalam tahun seribu empat ratus tiga puluh tujuh hijrah 
di dalam rumah isteriku di dalam daerah kuala nerus 
 di dalam negeri terengganu darul iman.


...syukur dan selawat...

Selasa, 2 Februari 2016

Gerak Yang Ketiga Puluh Lima

"Ketahuilah bahawa hati adalah umpama seseorang raja yang memiliki sebuah kerajaan bernama jasad dan sesungguhnya redha seseorang raja akan hadir kepada dirimu apakala derita yang kamu kecapi oleh lidah nurani itu diumpama sebagai satu ni'mat jua adanya..."



...tergerak pada tanggal dua hari bulan dua di dalam tahun dua ribu enam belas masihi di dalam madrasah tempat diriku bertugas di dalam daerah kuala nerus di dalam negeri terengganu darul iman.

 ...syukur dan selawat...

Jumaat, 1 Januari 2016

Gerak Yang Ketiga Puluh Empat

'Tidakkah seseorang antara kamu mengetahui dengan sesungguhnya bahawa kedatangan apa-apa yang dinamakan yang pertama itu adalah diumpamakan sebagai sahabat yang teramat erat dengan apa-apa yang dinamakan yang terakhir umpama kedatangan sesuatu hari jua kedatangan umur seseorang antara kamu. Dan berolehlah akan kejayaan bagi sesiapa antara kamu yang boleh mendekatkan apa-apa yang pertama dengan apa-apa yang terakhir...'



...tergerak pada tanggal satu hari bulan satu di dalam tahun dua ribu enam belas masihi bersamaan pada tanggal dua puluh rabiul awwal di dalam tahun seribu empat ratus tiga puluh tujuh hijrah yakni pada pagi hari jumaat dan aku tintakan gerak hati ini pada pukul tujuh tiga puluh minit pagi bertempat di dalam rumah isteriku di dalam daerah kuala nerus kuala terengganu di dalam negeri terengganu darul iman.

...syukur dan selawat...