Halaman

Khamis, 19 Februari 2026

Gerak Yang Keenam Puluh Empat

 "Ketahuilah olehmu sekalian anak Adam bahawa sanya sebatang lidahmu tidaklah berada di dalam rongga mulutmu kerana sesungguhnya lidah yang sebenar-benarnya kepada seluruh tubuhmu adalah berada pada seketul darah bernama hati. Oleh hal yang demikian, menahan umpat dan dusta dengan hati adalah terlebih payah seumpama berdepan ribuan musuh di medan perang, sedangkan menahan lidah di dalam rongga mulut hanyalah bersenjatakan kata-kata yang dilafazkan jua adanya..."

 

  Gerak Hati kucatat pada 1 Ramadhan satu ribu empat ratus empat puluh tujuh Hijriah yang tergerak sejak pada dua puluh empat Syaaban di dalam tahun satu ribu empat ratus empat puluh tujuh Hijriah bersamaan dua belas haribulan dua di dalam tahun dua ribu dua puluh enam Masihi di dalam rumah isteriku dalam Manir, Kuala Terengganu. di dalam negeri Terengganu Darul Iman.



...syukur dan selawat.

Jumaat, 9 Januari 2026

Gerak Yang Keenam Puluh Tiga

"Tidakkah memandang olehmu bahawa adalah berhimpun padanya solat itu kedua-dua kemegahan dan kehinaan. Padanya dimulakan dengan qiam-berdiri dan berkesudahan dengan duduk-berteleku. Adapun berdiri itu kemegahan dan duduk itu kehinaan dirimu pada hadirnya roh kehambaan patuh sujud hanya sanya kepada Allah swt jua." 

 

  gerak hatiku ini tergerak pada sembilan belas Rejab dalam tahun satu ribu empat ratus empat puluh tujuh hijriah bersamaan sembilan haribulan satu di dalam tahun dua ribu dua puluh enam Masihi di dalam rumah isteriku dalam Manir, Kuala Terengganu. di dalam negeri Terengganu Darul Iman.



...syukur dan selawat.

Jumaat, 17 Januari 2025

Gerak Yang Keenam Puluh Dua

"Ketahuilah olehmu bahawa adalah seseorang anak Adam tatkala ia beroleh sesuatu ni'mat dari Allah swt padanya tiada akan beza tatkala ia mendapat sesuatu musibah dari Allah swt jua. Maka inilah hadir suatu kemanisan dan suatu kelazatan zihin rohani jua adanya..."


gerak hatiku ini tergerak pada enam belas Rejab dalam tahun satu ribu empat ratus empat puluh enam hijriah bersamaan enam belas haribulan satu di dalam tahun dua ribu dua puluh lima Masihi di dalam Masjid Abidin Masjid Negeri, Kuala Terengganu. di dalam negeri Terengganu Darul Iman.


...syukur dan selawat.


Sabtu, 24 Ogos 2024

Gerak Yang Keenam Puluh Satu

"Pada suatu tilikan makrifah, ketahuilah olehmu bahawa sanya akan datang kepada dirimu satu masa bahawa sesungguhnya dirimu dapat merasakan sesuatu yang akan bertambah ke atas dirimu sendiri adalah sama dengan sesuatu yang akan dirimu merasakan sesuatu yang berkurang. Inilah hakikat dirimu tiada sebarang apa jua adanya..."


gerak hatiku ini tergerak pada lima belas Safar dalam tahun satu ribu empat ratus empat puluh enam hijriah bersamaan dua puluh haribulan lapan di dalam tahun dua ribu dua puluh empat Masihi di dalam rumah isteriku di dalam Manir, Kuala Terengganu. di dalam negeri Terengganu Darul Iman.


...syukur dan selawat.

Jumaat, 2 Ogos 2024

Gerak Yang Keenam Puluh

"Akan tiba satu masa seseorang anak Adam itu tidak mudah memanjangkan lidah makrufnya (dalam memberi tiap-tiap teguran dan nasihat kebaikan) kepada saudaranya yang lain kerana tiap-tiap anak Adam yang memanjangkan lidah kebaikannya itu adalah dipandang sebagai mengeji dan mencela pula. Begitulah adanya."


gerak hatiku ini tergerak pada dua puluh delapan Rabiul Awwal dalam tahun satu ribu empat ratus empat puluh lima hijriah bersamaan delapan haribulan empat di dalam tahun dua ribu dua puluh empat Masihi di dalam rumah isteriku di dalam Manir, Kuala Terengganu. di dalam negeri Terengganu Darul Iman.


...syukur dan selawat.

Rabu, 17 Ogos 2022

Gerak Yang Kelima Puluh Sembilan

"Ketahuilah olehmu, sesungguhnya setiap ciptaan Allah s.w.t adalah tertakluk kepada hakikat baharu. Maka oleh kamu usahlah dilebih-lebihkan dan dibangga-banggakan dengan sesuatu yang baharu kerana ia akan menelusuri waktu menjadi lama buruk dan usang. Oleh hal yang sedemikian adalah terlebih baik bagi kamu baharukanlah roh keimanan dirimu dan baharukanlah hatimu sebagai hamba kepada Pencipta. Nanti kamu akan mendapat sesuatu yang baharu dalam hidupmu..."


gerak hatiku ini telah beberapa purnama tersemat di umbi ilhamku dan kucatat pada hari ini pada tanggal tujuh belas hari bulan Ogos di dalam tahun dua ribu dua puluh dua masihi bersamaan sembilan belas Muharram tahun seribu empat ratus empat puluh empat hijriah yakni pada hari Rabu pukul lapan lima puluh empat minit pagi di dalam Madrasah Sultan Zainal Abidin di dalam Batu Burok, Kuala Terengganu. di dalam negeri Terengganu Darul Iman.


...syukur dan selawat

Sabtu, 1 Januari 2022

Gerak Yang Kelima Puluh Lapan

"Maka tiliklah olehmu wahai sekalian anak Adam, bahawa sesungguhnya dua kata-kata yang disusun pada jalan kehidupan di alam dunia ini adalah ghalibnya disebut pada lisan tiap-tiap anak Adam iaitu dunia dan akhirat. Maka beruntunglah barang siapa yang menilik akhirat sebagai jalan pertama dan menilik dunia sebagai jalan kedua semasa hidupnya di alam dunia ini. Demikian itulah puncak paling tinggi tilikan jalan yang sangat bijaksana diambil dalam kehidupan bagi tiap-tiap anak Adam yang berakal adanya..."


gerak hatiku ini kucatat pada hari ini pada tanggal satu hari bulan Januari di dalam tahun dua ribu dua puluh dua masihi bersamaan dua puluh tujuh Jamadil Awwal tahun seribu empat ratus empat puluh tiga hijriah yakni pada hari Sabtu pukul tujuh dua belas minit pagi di dalam rumah isteriku di dalam Manir, Kuala Terengganu. di dalam negeri Terengganu Darul Iman.


...syukur dan selawat